Pahit Manis Di Sebalik Ulang Tahun Pertama Zahra

Pena MAMA EIZAN

Subhanallah..Alhamdulillah dengan segala nikmat yang Allah anugerahkan buat saya dan suami. Kehadiran Nur Adlene Zahra, permata hati kami yang ke 6 bukan sekadar menambah bilangan anak secara fizikal, malah lebih daripada itu. Alhamdulillah…impian nak berkeluarga besar tercapai. Target 5 dapat 6…ekstra!

Syukur Ya Allah..hari ni 30 November 2016, genap usia Zahra 1 tahun. Kakak dan abang jealous sebab Zahra sambut first birthday di Korea. Untung Zahra kecil lagi sudah dapat ‘terbang’ jauh. Kalau ada di Malaysia, sudah pasti saya akan tempah kek comel untuk dia dan uruskan satu majlis kecil untuknya.

Tapi, sayangnya tidak ada kek comel untuknya hari ini.  Sebaliknya ‘hadiah’ paling berharga adalah kami dapat berkumpul bersama dengan abah nya.Jauh di sudut hati, saya sebak meraikan hari ini. Saya tidak menyangka akan melahirkan dia pada usia 40 tahun. Pada ketika saya sudah selesa dan tidak lagi perlu bangun malam tukarkan lampin, buatkan susu dan sebagainya. Nak berjalan ke mana-mana pun mudah memandangkan abang Zahra, Alif Hakimi sudah pun 6 tahun.

Namun, aturan Allah untuk kami menepis segala perancangan. Kami terbuka menerima rezeki lagi kali ini. Kami yakin, setiap anak itu ada rezekinya yang datangnya dalam pelbagai bentuk, bukan wang dan harta benda semata-mata.

Kenapa saya sebak? Satu perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata...
Melalui fasa kehamilan pada usia 40 tahun pastinya tidak sama seperti mengandungkan anak-anak yang terdahulu. Sepanjang hamil, saya tidak mengalami sebarang alahan atau masalah kesihatan yang kronik. Cuma sehari sebelum melahirkan Zahra, Allah uji…saya mengalami masalah saraf Bell Palsy. 

SARAF vs KONTRAKSI

Masih blur pada awalnya tentang simptom yang dialami,  pagi Subuh 30 November 2015, saya alami tanda bersalin (turun darah). Walaupun ini kami yang ke-6 tapi perasaan takut tu sama sahaja. Sudah terbayang sakit untuk bersalin. Aduh! Pada masa yang sama, saya sangat bimbang melihat muka sebelah kanan saya yang makin senget, seperti orang kena strok! Ya Allah…dua sakit dalam satu masa.

Apapun, Alhamdulillah, saya selamat melahirkan Zahra 3.24kg jam 10.00 pagi secara normal tapi dibantu dengan kaedah vakum. Dan untuk merawat Bell Palsy, saya perlu makan ubat, menjalani fisioterapi selain akupuntur sebagai usaha alternatif. Saya perlu positif berdepan dengan perkara ini dan saya mahu sembuh secepat mungkin sebelum kembali bekerja. 
Ya Allah…ujian datang lagi apabila suami pula diarahkan bertugas di Korea ketika saya masih dalam pantang dua minggu. Namun atas ehsan syarikat dia bertolak selepas saya habis berpantang. Sungguh, saya stress tapi saya perlu kuat.






ZAHRA & EN.ABAH

Dalam usaha cekalkan hati, entah berapa banyak air mata yang tumpah…Allah yang mengetahui. Kasihan Zahra, dia masih merah tetapi sudah berjauhan dengan si abah. Begitu juga bagaimana saratnya rindu anak-anak lain terhadap abah mereka. Mujurlah ada teknologi sekarang ini yang membolehkan dia dengar suara dan lihat wajah abahnya dari skrin smartphone. Kalau tidak memang  Tiga bulan sekali abahnya balik menjenguk kami.




Zahra oh Zahra…baby yang satu ini memang lain benar ragamnya. Asyik menangis bila diletak dan hal ini sedikit sebanyak menganggu kerja-kerja pengasuh. Maklumlah dia turut mengasuh beberapa budak lain. Jadi memang tidak boleh fokus kepada Zahra seorang.

Tangisan Zahra saban hari bagaikan merentap jantung, menghiris hati saya. Wajahnya murung, badannya kian susut dan selera makannya juga kurang. Hari-harinya lebih banyak menangis berbanding tawa. Saya benar-benar tersepit kali ini antara anak dan kerjaya. Naluri keibuan saya tidak mampu mengharungi situasi ini. Pernah juga bawa ustaz datang ke rumah tapi dia masih begitu. Maksudnya bukan diganggu tapi style dia begitu.

 Puas berfikir dan membuat pertimbangan…akhirnya saya nekad tinggalkan kerjaya yang saya sayang dan cintai. Memang berat keputusan ini tetapi saya redha andai ini sudah tertulis dalam diari kehidupan saya. Duit boleh dicari namun anak tiada pengganti. Saya percaya Zahra lah orang yang paling bahagia dengan keputusan mama nya ini.

 Sedar tak sedar, Zahra sudah pun setahun ha
ri ini. Dah boleh berjalan pun! Selamat Hari Lahir sayang mama. Semoga kamu membesar sebagai anak yang sihat, taat kepada Allah dan ibu bapa. Walaupun abah jauh, tetapi kasih sayang dan rindu dia pada kamu tidak pernah luak.





Hari ini, saya sangat bersyukur kami dapat berhimpun satu keluarga meraikan si kecil Zahra yang bagaikan puteri, ditatang kakak dan abang. Semoga anak-anak mama bersatu dalam apa jua keadaan. Terima kasih banyak membantu mama dan berdikari dalam banyak perkara. Kerana mereka, saya redah semua kepayahan.








Bukan pujian yang saya harapkan cuma satu perkongsian ikhlas buat anda yang mungkin menghadapi situasi yang sama seprti saya atau lebih daripada itu. Ada kala cabaran yang datang buat kita lelah dan bimbang fikirkannya. Usah mengalah, teruskan melangkah.

Salam sayang
Mama Eizan
Cheonho, Gangdong-gu Seoul Korea.



Comments

Popular posts from this blog

KEBAIKAN TAEKWANDO UNTUK KANAK-KANAK

PROJEK BEG SEKOLAH

MEMASAK CARA MUDAH & JIMAT!