CABARAN KERJAYA MAKIN HEBAT




Pena EIZAN ARIFFIN

Foto Gerobok S3

Assalamualaikum dan salam sejahtera semuanya.
Kepala dirasakan ‘berasap-asap’! Bukan saya seorang tetapi kebanyakan rakan editor merasakannya kerana kami semua dikehendaki membuat perancangan untuk tahun 2014 ini. Biasanya, pada tahun-tahun sebelum ini, perancangan selesai dibentangkan pada bulan November. Namun kali ini agak lambat kerana ada beberapa dasar yang perlu diselaraskan oleh pihak pengurusan.

Perancangan kali ini sangat mencabar saya rasakan kerana ia bukan sekadar merancang untuk pengisian majalah semata-mata malah ia lebih daripada itu. Kali ini lebih banyak figure yang perlu dimasukkan. Takutnya melihat figure ini! Lebih-lebih lagi tahun ini saya diberi tanggungjawab baru selaku Business Head Pa&Ma!
Sejak dulu hingga sekarang, saya bekerja bukan untuk mengejar pangkat.  Apa jua yang saya lakukan dalam kerjaya adalah di atas minat dan kemahuan diri.  Pada saya dalam kerjaya mesti ada kemajuan…bukan di mata orang lain tetapi di mata dan minda kita sendiri.  Mungkin saya ni jenis yang cepat bosan melakukan tugas yang sama…jadi saya suka cabar diri sendiri! Sudahnya, kini saya sedang bergelut menghadapi cabaran itu.

Jauh di sudut hati, hanya Allah Yang Maha Mengetahui, betapa bimbangnya saya untuk menggalas komitmen yang baru ini. Saya bimbang jika saya tidak mampu melaksanakannya seperti apa yang diharapkan. Namun, bagi mengelak rasa itu menguasai diri, selalu saya bisikkan di dalam hati…cuba dan cuba. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. In Sha Allah dengan team yang saya ada…kami akan cuba yang terbaik.

Rentetan perancangan 2014, rutin saya sejak tiga empat hari lalu memang lintang pukang dibuatnya. Sebelum itu saya dan team Pa&Ma bergelut dengan deadline bahan untuk bulan Mac. Lepas settle bahan, barulah saya mula belek-belek format presentation sedangkan rakan editor lain ada yang sudah  hampir siap.  Aduh, memang berpeluh dan berpinau memikirkan bagaimana mahu mencorak majalah ini agar jenamanya terus kekal di hati pembaca semua.

Sudahnya, minggu ini saya asyik pulang lambat. Kesian anak-anak…terima kasih en suami kerana memahami kerja saya. Dulu-dulu tarik muka juga sebab isteri dia selalu  balik lambat, kerja weekend, tapi lama-kelamaan, dia mula memahami.

Dan hari ini (SABTU 18 JAN), pagi-pagi lagi saya sudah keluar rumah untuk hadiri satu training tentang Internet Marketing. Sebelum tu saya sempat belikan breakfast dan nasi lemak, mee goreng dan bihun untuk suami dan anak-anak. Sorry ya..mama tak sempat masak pagi ni. Malam tadi sampai rumah pukul 10pm…letihnya! Namun, memikirkan komitmen yang diberi untuk hadir training…saya telan rasa letih itu sebaliknya mencari energy baru agar ilmu yang diberikan hari ini dapat diserap sebaik-baiknya.  Lepas habis training, saya terus ke pejabat, siapkan sedikit lagi slide dan fotokopi handout. Nasib baik beberapa orang kawan ada kat sana, Kak Mirie (Assistant Editor Seri Dewi Keluarga), Rosiati (editor Mingguan Wanita) atau saya lebih senang dengan panggilan Tie sejak zaman U lagi, Botak, Meen Tahrin (Business Manager Media Hiburan) dan beberapa orang wartawan MW. Dorang ni lagi la kesian, lepas deadline-deadline lagi, tak putus-putus! Yes, saya salute mereka!

Hampir jam 6 petang, saya kemas meja sebab hari Isnin, Selasa dan Rabu depan saya tidak akan berada di pejabat kerana perlu ‘berkampung’ di Unitar Kelana Jaya untuk sesi presentation melibatkan semua editor dan Eksekutif Pengiklanan. Alhamdulillah…dah siap. Harap-harap pihak pengurusan faham apa yang akan saya sampaikan…hehe

Sampai ke rumah, saya terus cari anak-anak. Ya Allah, rindunya mama kat kamu semua! Cepat-cepat saya cari Kimi, saya cium dan peluk dia erat-erat. Semalam dia tak tidur bersama saya, sebaliknya tidur dengan kakaknya. Sejak akhir-akhir ni, dia selalu ‘tinggalkan’ saya waktu malam…cepatnya anak membesar.  Tak lupa saya memanggil Amzar dan bertanya apa kisah latihan Taekwando nya hari ini.

“Mama, kenapa mama tak temankan Amzar hari ni?”, keluh Amzar.

“Mama kerja lah. Abah kan dah temankan Amzar”, balas pula saya. Sebenarnya saya langsung terlupa Amzar ada latihan hari ni. Nasib baik Abah dia ingat dan tolong hantarkan. Siap whatsapp kat saya gambar Amzar lengkap beruniform Taekwando gigih berlatih. Entah kenapa, tiba-tiba  saya sebak…dalam Saam kesibukan saya, anak-anak membesar dengan pantas.

Wahai anak-anak mama, doakan mama terus sihat, bertenaga untuk menempuh kerjaya yang makin mencabar hari ini. Tapi mama janji, mama tidak akan abaikan anak-anak mama semua.

Akhir kalam, cabaran dalam kerjaya memang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting ialah bagaimana untuk kita berfikir dan bertindak agar kita dapat menghadapinya.  Pada saya, anggap kerja bukan sebagai satu bebanan, tetapi sebagai satu tanggungjawab yang harus dilaksakanan penuh ikhlas. Apa lagi jika ia melibatkan penulisan…menulis lah dari hati!

Salam sayang…

MAMA EIZAN



Comments

Popular posts from this blog

KEBAIKAN TAEKWANDO UNTUK KANAK-KANAK

PROJEK BEG SEKOLAH

MEMASAK CARA MUDAH & JIMAT!