SYILING OH SYILING…Kecil di mata kita, besar di mata insan lain...


PENA Eizan Ariffin

Assalamualaikum,

Siang semalam, sebaik usai makan pagi, saya minta anak-anak keluarkan tabung mereka; termasuklah Adik Kimi punya..

Wang syiling dan kertas yang mereka kumpulkan sepanjang tahun 2013 itu adalah hasil lebihan wang saku sekolah yang kami beri saban hari. Pesan saya, kalau lebih 10sen pun mesti masukkan dalam tabung. Ada masa lebih ada masa langsai!

Pada saya, anak-anak mesti diajar menabung sejak kecil. Biar mereka tahu pentingnya untuk berjimat cermat. Saya selalu cakap kepada mereka duit ini boleh digunakan bila mereka besar nanti apabila mahu masuk kolej atau universiti. Masa tu nanti, mama dah tua, mungkin sudah tidak bekerja; dan pastinya tidak bergaji. Jadi, sedikit sebanyak wang yang disimpan dapat membantu mereka.

Berbalik kepada cerita tabung tadi, memandangkan tabung masing-masing sudah berat kecuali Raisya dan Adik Kimi (sebab mereka belum dapat duit poket..hehe), jadi elok kiranya saya keluarkan, kira dan simpan di bank. Alhamdulillah, saya telah buka akaun simpanan untuk semua anak saya. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. In shaa Allah.

Amzar mula menggoncang tabung untanya (tabung Ambank).

“Mama..mama, tabung Amzar dah berat ni. Mesti dah penuh,” ujarnya gembira.

“Ye ke…cuba buka kat bawah tabung tu boleh tak?” arah pula saya.

“Tak boleh lah mama. Ketat sangat ni,” balas Amzar sambil muka dia berkerut-kerut cuba mencungkil lubang tabung.

“Erm…nampak gaya kena bawa pegi bank ni. Kena buka kat sana. Nanti  kita bawa ke bank ya Amzar,” pujuk saya.

Mendengar kata, Amzar abaikan tabung dia. Nurin dan Athirah menghulurkan tabung Doraemon dan Hello Kitty milik mereka.

Mulalah projek mengira duit syiling! Yang menariknya Raisya turut ambil bahagian mengira duit syiling ini. Bagus juga rupa-rupanya aktiviti ini.

Mula-mula saya minta dia asingkan duit 50sen, 20sen, 10sen dan 5sen. Kemudian, kira, jadikan RM1 dan susun satu tempat sehingga jadi RM10. Boleh juga asah ilmu matematiknya.

Selain syiling, ada juga wang kertas biru, hijau dan merah. Yang merah  tu biasanya kami yang minta tukar dengan duit RM1 untuk mereka belanja ke sekolah.

Alhamdulillah, hasil tabungan mereka, Athirah dan Nurin telah mengumpulkan lebih RM150.00. Bagi saya ok la banyak tu daripada tidak ada apa-apa. Syiling yang banyak ni akan saya tukar di kafe nanti. Begitu juga wang RM1.

SYILING YANG MENYENTUH HATI

Apa perasaan anda bila melihat wang syiling? Kalau anda sapu lantai, tiba-tiba terjumpa wang syiling 5sen,10sen…apa yang anda buat? Tidak endahkan atau kutip wang tersebut dan minta anak masukkan ke dalam tabung?

Kalau saya, saya akan minta anak-anak ambil dan masukkan dalam tabung masing-masing. Siapa yang paling dekat dengan saya waktu itu, dia la yang untung!

Mungkin pada sesetengah kita, wang syiling itu rendah nilainya, malah tak heran pun! Tapi saya selalu ingat pesan orang tua, ‘kurang sekupang, tak cukup seratus tau!’. Mungkin saya dilahirkan dalam keluarga yang susah, pesanan itu tak pernah saya lupa.

Menyentuh tentang wang syiling ini meningatkan saya kepada kisah seorang datuk yang bersusah payah mengumpul syiling untuk sekolahkan cucunya yang masuk darjah satu baru-baru ini.

Sedih dan sebak kala membaca kisah itu. Datuk itu membawa punjut duit syiling bernilai RM64.00 untuk daftar sekolah cucunya. Malangnya wang itu belum cukup untuk membayar yuran sekolah tersebut. Cuba anda bayangkan, semua orang menunggu guru mengira jumlah wang syiling yang dibawa olehnya. Hati naluri saya sangat tersentuh dan saya tak dapat bayangkan situasi itu. Sungguh cekal hati si datuk. Walau sudah tidak berdaya, kasih sayang terhadap cucunya tidak berbelah bagi. Walau miskin, dia mahukan pendidikan untuk cucunya ini yang kematian ibu  sejak umurnya sebulan lagi. Si ayah pula dipenjarakan kerana dadah.

Nampaknya, masih ramai miskin tegar di kota Kuala Lumpur ini. Khabarnya sudah beberapa kali  keluarga ini memohon bantuan zakat namun tidak tahu di mana silapnya, permohonan mereka hanya tinggal igauan. Saya sangat berharap kes-kes seperti ini mendapat perhatian pihak-pihak berkenaan.

Berdasarkan gambar-gambar yang dilihat, wajah kanak-kanak ceria seperti mana rakan-rakan lain yang teruja melangkahkan kaki ke sekolah buat kali pertama! Namun adik Nur Khatijah ini tidak tahu, situasi mereka berbeza! Dia belum mengerti resam hidup ini.

Saya ceritakan kisah ini kepada anak-anak supaya mereka bersyukur dengan apa yang mereka miliki hari ini. Anak-anak sekarang memang suka meminta itu dan ini. Kalau boleh semua nak serba baru setiap kali buka sekolah. Tapi itu bukan cara saya. Mana-mana pakaian/barang lain yang masih boleh dipakai, saya akan suruh mereka pakai. Kalau dah langsung tak boleh guna, barulah saya akan tukar dengan yang lain.

Kisah adik dan datuk ini sebenarnya membuatkan kita muhasabah diri. Jika kita fikir kita susah, ada orang lain yang lagi susah berbanding kita. Bersyukurlah dengan segala rezeki yang Allah kurniakan bukan sahaja dari segi wang ringgit, malah diberi dalam pelbagai bentuk. Kesihatan diri, kelapangan, anak-anak yang sihat dan pintar…semua itu rezeki! Jangan sesekali kita merungut, wang tidak cukup, wang tidak cukup! Sebaliknya berdoalah agar kita sentiasa dimurahkan rezeki oleh-Nya.

Kisah ini juga mengajar kita rezeki yang kita perolehi itu bukan untuk kita semata-mata, malah ada ‘hak’ orang lain di dalamnya. Oleh itu selalulah kita bersedekah membantu orang lain yang memerlukan. Saya doakan adik kecil ini tabah mengharungi hidupnya. Semoga dia berjaya di dunia dan di akhirat..

Kepada yang ingin membantu, di sini saya kongsikan info yang saya peroleh di sini http://zunairahghani.blogspot.com/2014/01/update-yuran-sekolah-dari-duit-syiling.html

"Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik; Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya." (Adh-Dhuha: 9-11)


* Maaf, entri  kali ini juga tidak mempunyai gambar...ada masalah dengan lappy saya ni...

Salam sayang

MAMA EIZAN

Comments

Popular posts from this blog

KEBAIKAN TAEKWANDO UNTUK KANAK-KANAK

PROJEK BEG SEKOLAH

MEMASAK CARA MUDAH & JIMAT!